Sabtu, 19 Januari 2019

Cara Tampilkan Keunikan Homestay Anda

Cara Tampilkan Keunikan Homestay Anda!


Untuk menampilkan keunikan homestay ada, pertama sekali kenalpasti apa yang ada di homestay anda dan tiada ditempat lain.





Sebagai contoh mudah, anda cipta keunikan tersebut dengan menceritakan sejarah tentang 'bola sepak takraw' dan ceritakan asal usulnya beserta replika sepak takraw yang dihiasi disudut rumah anda.

Tonjolkan keunikan tersebut sebagai salah satu daya tarikan kepada pelancong, sekiranya target anda adalah pelancong.

Hanya bermodal sepak takraw sahaja, anda boleh membina keunikan sendiri homestay anda.

Begitulah ceritanya!




Tips mengemaskan tilam supaya sentiasa dalam keadaan bersih, selesa dan kemas.


Tip Homestay : Velcro Strap


Sebagai seorang pengusaha homestay yang efisian hendak sentiasa menguruskan barang keperluan homestay supaya berada di dalam keadaan bersih, selesa dan kemas.




Hari ini saya ingin kongsikan kepada semua pengusaha homestay satu tip yang boleh digunakan bersama iaitu penggunaan ‘Velcro Strap’.

Memang diakui, sesetengah homestay apabila ada pertambahan penginap, pengusaha homestay akan cuba untuk meletakkan tilam tambahan di dalam bilik sebagai kegunaan kepada penginap mereka.

Tetapi malangnya tilam tersebut hanya diletakkan atau disandarkan di dinding sahaja. Perkara yang paling menyedihkan lagi, tilam tersebut dibiarkan di atas lantai sahaja. Ia menampakkan tilam tersebut seolah-olah tidak dijaga dengan baik dan kemas.

Perkara ini berlaku mungkin disebabkan oleh tilam besar dan susah untuk disimpan. Jadi, jalan penyelesaiannya adalah dengan menggunakan velcro strap sahaja dapat menyelesaikan masalah tersebut. Caranya adalah dengan menggulungkan tilam tersebut dan diikat dengan velcro strap. Mudah, cepat, kemas dan mudah dibawa!






Tips AIRBNB : Penting atau tidakTelevisyen sebagai tarikan homestay anda.

Tips ini dikongsikan oleh encik Ahmad Firdaus Bin Mohd Haris ,Airbnb Superhost dan pemilik homestay Casa Alyssa

Hasil carian imej untuk tv

TIPS AIRBNB: Television

Semasa fasa pengiraan budget dan pemilihan tema Casa Alyssa, salah satu perkara yang kami bincangkan adalah berkenaan Television.
Beberapa pesaing homestay dan Airbnb berdekatan meletakkan TV besar LED sebagai "highlight" kepada unit mereka. Ada juga yang menawarkan pakej Astro penuh untuk kegunaan tetamu.
Namun, disebabkan faktor kewangan dan tema yang berbeza, kami membuat keputusan berikut:
1. Kami akan gunakan TV LED 32 inci yang basic dan yang sudah terpakai.
2. Tiada Astro dan tiada siaran TV konvensional.
3. Lebihkan bahagian budget untuk "feel good factor".
4. Fokus kepada Internet kelajuan tinggi.
5. Gunakan Chromecast sebagai alternatif.
6. Perkhidmatan Unifi tidak sampai lagi ke kawasan perumahan, jadi kami pakai donggle.

"Kalau tiada TV besar, siapa nak sewa Casa Alyssa?"

Demography tetamu Airbnb yang kami sasarkan adalah:
1. Pengguna berumur antara 20 hingga 50 tahun.
2. Peka IT (IT Savvy).
3. Datang ke Ipoh untuk "the Ipoh hospitality and experience".




Tetamu begini tidak mementingkan apa yang disiarkan di TV. Mereka jarang sekali akan menonton Buletin Utama atau Cerekarama. Demography Casa Alyssa lebih cenderung kepada on demand services seperti Netflix, iflix dan YouTube.
Mereka juga akan keluar di awal pagi dan pulang pada lewat malam untuk meluangkan masa di Lost World of Tambun dan Ipoh Oldtown. Jadi, kami focus kan supaya apabila tetamu masuk sahaja ke rumah, mereka akan rasa amat selesa dan "warm".
Kesimpulannya, jika ada kekangan budget, fikirkan semula tema & demography tetamu yang kita mahukan. Jangan cuba untuk puaskan hati semua orang tetapi berikan focus kepada "people that matters".
Ahmad Firdaus Bin Mohd Haris
Airbnb Superhost
Casa Alyssa

No photo description available.

Fish Spa semulajadi di sungai produk pelancongan 'paling laris' di homestay Kampung Luanti, Ranau


Inap desa gaya 1Malaysia di Kampung Luanti, Ranau





HOMESTAY Kampung Luanti, Ranau tonjol konsep perpaduan pelbagai etnik.



KEINDAHAN dan kejernihan sungai di Kampung Luanti, Ranau, kira-kira 130 kilometer dari Kota Kinabalu, bukan sahaja menjadi kebanggaan penduduk, malah antara lokasi pelancongan yang sangat popular di Sabah.

Antara produk pelancongan 'paling laris' di kampung berkenaan ialah urutan ikan semula jadi di Sungai Luanti yang tidak putus-putus dikunjungi pelancong, sama ada dari dalam atau luar negara.

Walaupun terkenal dengan urutan ikan atau 'fish spa', Kampung Luanti yang terletak 18 kilometer dari pekan Ranau sebenarnya memiliki banyak lagi produk pelancongan lain termasuklah inap desa yang diusahakan penduduk.

Bagaimanapun, masih ramai belum mengetahui keunikan inap desa di kampung berkenaan termasuklah Tagal Luanti Homestay yang sangat istimewa.


Selain bentuk penginapannya yang unik, Tagal Luanti Homestay boleh dianggap sebagai homestay 1Malaysia kerana reka bentuk cat yang ada pada setiap inap desa atau 'rumah' mewakili semua suku kaum di negara ini.



REKA bentuk atau ukiran cat pada setiap rumah penginapan berbeza dengan masing-masing mewakili beberapa suku kaum utama di Malaysia.




Pengusahanya, Jeffrin Majangki berkata, setiap rumah penginapan yang dibina mempunyai erti dan maksud tertentu.

"Ia dibina dalam pelbagai bentuk yang mempunyai kaitan dengan tradisi masyarakat di Sabah seperti bentuk gong, tajau, sirung dan banyak lagi.

"Selain itu, reka bentuk atau ukiran cat pada setiap rumah penginapan berbeza dengan masing-masing mewakili beberapa suku kaum utama di Malaysia, khususnya Sabah.

"Antaranya termasuk ukiran daripada suku kaum Bajau, Dusun, Rungus, Lotud, Sungai, Tatana, Murut, Iban, Melayu, Cina dan India," katanya.







Jeffrin berkata, beliau terfikir membina inap desa berkenaan kira-kira dua tahun lalu dan mendapat ilham daripada konsep 1Malaysia yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya terfikir untuk membina homestay yang bukan sahaja bersifat perpaduan malah memiliki keunikan tersendiri.

"Apabila bermalam di sini, pengunjung akan lihat rumah penginapan berkonsepkan pelbagai kaum dan terletak berhampiran, itulah mesej yang saya cuba tonjolkan. walaupun berbeza kaum, kita boleh tinggal di kawasan yang sama," katanya.

Beliau berkata, selain ukiran kaum di Malaysia, beliau mewujudkan tiga rumah penginapan yang berkonsepkan tiga negara iaitu British, Portugis dan Jepun.


ANTARA tarikan di Homestay Kampung Luanti.





"Tiga negara itu pernah 'mengukir' sejarah di negara kita, selain menonjolkan konsep perpaduan, Tagal Luanti Homestay memiliki ciri-ciri sejarah untuk menjadikan homestay ini lebih menarik," katanya.

jeffrin yang juga Pengerusi Tagal Daerah Ranau, berkata beliau kini memiliki 15 rumah penginapan yang mempunyai pelbagai kemudahan termasuk tempat tidur, tandas, penghawa dingin, pemanas air dan beberapa kemudahan lain.

Tagal Luanti Homestay mula dibuka Februari 2014 dan sambutan agak menggalakkan.






Selain rumah penginapan, pelbagai aktiviti boleh dilakukan oleh pengunjung, termasuk menikmati urutan ikan di Sungai Luanti dan berjalan dalam hutan (jungle trekking).

"Apabila kita menjalankan aktiviti jungle trekking yang terletak tidak jauh dari sini, kita akan menemui satu air terjun yang cantik dan boleh mandi-manda di situ," katanya.

Beliau juga dalam perancangan untuk membina sebuah kolam besar berhampiran dengan rumah penginapan di Tagal Luanti Homestay.

"Ia bagi menambah aktiviti pengunjung termasuk berkayak serta memancing. Saya juga akan melakukan kerja lanskap bagi mengindahkan lagi kawasan Tagal Luanti Homestay," katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai Tagal Luanti Homestay boleh menghubungi talian 088-876988.


PELANCONG mencuba spa ikan di Sungai Luanti.





INFO - Tagal Luanti Homestay


  • Terletak di Kampung Luanti, Ranau - kira-kira 130km dari Kota Kinabalu
  • Terletak kurang setengah jam perjalanan dari Gunung Kinabalu
  • Berhampiran Sungai Luanti yang terkenal dengan aktiviti 'fish spa'
  • Menyediakan 15 rumah penginapan pelbagai reka bentuk unik



Bercuti di kampung, gogoh ikan di Homestay Sungai Haji Dorani



KEPUASAN berjemur di pantai, mendaki bukit dan gunung, bermalas-malasan dalam bilik hotel empat atau lima bintang pastinya berbeza dengan keseronokan menghabiskan cuti di kampung.




Ia benar-benar dirasai oleh mereka yang memang tidak mempunyai kampung atau sudah lama meninggalkan kampung halaman.

Malahan mereka yang ada kampung juga boleh memilih percutian di desa untuk merasai kelainan suasana di halaman orang berbanding tempat sendiri.

Bergantung kepada tempat, kalau berkunjung ke bendang, boleh menikmati bau sawah, pengalaman meleraikan padi daripada tangkainya, memancing ikan darat seperti puyu, sembilang, sepat atau haruan.

Anda juga menikmati keseronokan bergelumang lumpur dan bermain permainan tradisional, congkak, wau atau tarik upih pinang.






Menjadi budak kampung tidak semestinya jauh daripada kemudahan gajet berteknologi, namun lepak bersama kawan sekampung, berkejaran menghambat haiwan, mengusik rakan serta mandi sungai beramai-ramai antara adegan mencuit memori.

Jadi, selepas puasa dan raya nanti, bolehlah anda mengajak kawan atau keluarga bercuti dalam suasana kampung dengan berkunjung dan menginap di Sungai Haji Dorani di Sungai Besar, Selangor.

Penyelaras Pusat Penginapan Dorani, Abd Rahman Daud, berkata kehidupan di kampung menyeronokkan bagi individu tahu menghargai keindahan alam dan destinasi eko-pelancongan.

"Pelancong dari Jepun, Singapura dan Korea paling gemar menginap di desa ini berikutan lokasi mesra alam, menyamai kebudayaan masyarakatnya dan mencuba sesuatu lain daripada lain.

"Biasanya, bilangan pengunjung meningkat setiap bulan sekitar 500 orang tetamu atau 7,000 pengunjung setahun," katanya.

Abd Rahman berkata, perkampungan Sungai Dorani popular dalam kalangan masyarakat tempatan yang tidak ada kampung halaman dan merindukan destinasi alam semula jadi.

Antara aktiviti istimewa di sini adalah gogoh ikan iaitu sebutan bahasa Jawa bermaksud menangkap ikan dengan tangan dalam sawah, parit atau tali air yang air cetek.

Pelancong yang menginap atau sekadar berkunjung sehari sahaja akan menyertai aktiviti yang dilihat seperti kotor kerana mengharungi lumpur atau selut tetapi meriah, dan keseronokan dengan hilai ketawa cukup dirasai apabila berjaya aneka jenis ikan darat yang dilepaskan ke dalam kolam.

"Aktiviti gogoh memang aktiviti dinantikan pelancong kerana mereka boleh belajar cara menangkap ikan menggunakan tangan, yang biasanya mengundang gelak ketawa.

"Mereka lebih banyak bermain lumpur dan berseronok. Aktiviti itu tidak membosankan," katanya.


ANTARA aktiviti mengogoh ikan.





Santai dengan aktiviti orang kampung

Pada waktu petang, tetamu boleh melakukan aktiviti santai dengan melihat proses pembuatan kuih Melayu tradisional; mencuba pemprosesan produk industri kecil dan sederhana menggunakan bahan tempatan, menumbuk padi, mewarnakan batik canting atau bermain layang-layang.

Pada sebelah malam, pelancong dibawa mengelilingi kampung menghayati keindahan bulan bintang, menikmati lambaian pepohon kelapa yang menenangkan jiwa, menyedut udara segar dan mengenali flora fauna liar.

Pengembara makanan, kata Abd Rahman, pasti teruja merasai makanan kampung popular disediakan masyarakat Jawa secara bergotong-royong antaranya, masakan ' pecel lele ' (ikan keli masak kencur), kulit lembu masak, sambal taun dan pecal Jawa.

Untuk tempahan, pelancong berkumpulan perlu membuat tempahan awal seawal sebulan sebelum tarikh lawatan, membuat bayaran pendahuluan 50 peratus dan bayaran baki ketika berkunjung ke lokasi berkenaan.

"Biasanya, satu keluarga angkat berupaya menerima empat orang pada satu-satu masa. Sekiranya datang berkumpulan antara 40 hingga 80 orang lebih baik," katanya.


SEJUKKAN tekak dengan cendol.





INFO


  • Harga pakej antara RM65 seorang hingga RM280
  • Minimum setiap pakej ialah 40 orang
  • Harga pakej berdasarkan lawatan sehari hingga penginapan 3 hari 2 malam
  • Aktiviti ditawarkan bergantung kepada pakej yang dipilih
  • Terdapat aktiviti tambahan bergantung kepada permintaan tetapi dikenakan bayaran berasingan.


Aktiviti tambahan berbentuk persembahan tetapi dikenakan bayaran berasingan

* RM200

Persembahan kompang dan bunga manggar

* RM400

Silat Jawa

* RM500

Kuda Kepang

* RM850

Tarian Melayu, gamelan atau wayang kulit

* RM1,500

Pakej persandingan pengantin

Bermalam atas pokok pengalaman baru di Ponohuan Homestay dekat Kampung Kambizaan, Papar, Sabah.

Pengalaman Bermalam atas pokok idea kreatif Ponohuan Homestay


suasana kedamaian dan keindahan alam semula jadi

BERGAYUT di buaian di atas permukaan sungai pasti menjanjikan kelainan serta pengalaman mengujakan buat menanti pengunjung apabila menginap di Ponohuan Homestay dekat Kampung Kambizaan, Papar, Sabah.

Terletak kira-kira sejam perjalanan dari Kota Kinabalu, Ponohuan Homestay boleh dikategorikan sebagai lokasi pelancongan baharu, namun mempunyai daya tarikan tersendiri khususnya bagi mereka yang ingin menikmati suasana kedamaian dan keindahan alam semula jadi.

Di sekitar kawasan inap desa terbabit, pengunjung boleh melihat kejernihan sungai sehingga memperlihatkan batu sungai dan ikan kelah atau dikenali sebagai ikan pelian dalam bahasa Kadazandusun.

Pemandangan yang tentu sahaja menenangkan jiwa sesiapa saja, terutama mereka yang mahu lari seketika dari kesesakan suasana kota.

Bagi pengunjung yang ingin bermalam dan menikmati percutian lain daripada yang lain, bolehlah menginap di rumah atas pokok.





Rumah beratap rumbia dan berdinding buluh ini dilengkapi dengan keperluan asas seperti tilam, kipas, cermin serta kelambu untuk melindungi pengunjung daripada serangga.

Lebih menarik, pengunjung boleh membuka tingkat dari dalam rumah berkenaan untuk menikmati pemandangan sungai, sambil sesekali dihiburkan dengan kicauan burung.

Setakat ini, pengurusan inap desa menyediakan tiga rumah atas pokok dinamakan Pelian, Sarawi dan Tigas, dengan setiap satu boleh memuatkan antara empat hingga lima orang.



Kawasan sekitar inap desa ini juga menyediakan tapak untuk aktiviti BBQ dan perkhemahan.

Di inap desa ini, pengunjung diberi pilihan untuk memasak sendiri atau boleh memesan makanan dengan pengurusan Ponohuan Homestay untuk menyediakan hidangan sepanjang hari dengan jumlah bayaran tertentu.

Pengunjung yang ingin pengalaman lebih mencabar, bolehlah mencuba aktiviti berakit buluh menyusuri sungai di perkampungan berkenaan.






Jangan takut-takut, jaket keselamatan disediakan, malah aktiviti itu dipantau oleh pekerja Ponohuan Homestay bagi memastikan keselamatan.

Ponohuan Homestay diusahakan tiga adik-beradik, Jailin, Rose dan Nurul Saikun, sejak tahun lalu.



INFO

RM80 bayaran penginapan untuk satu malam.

Bayaran masuk: RM5 untuk dewasa, RM2 untuk yang berusia bawah 12 tahun.

Untuk keterangan lanjut, hubungi Donna di talian 010-9411109 atau Jailin (016-8825972), Nurul (014-2021208) dan Rose (016-8471786).

Arnab Village atau perkampungan arnab di Kampung Purakagis jadi tarikan pelancong ke Ranau


Hobi arnab jadi tarikan pelancong ke Ranau






Hobi seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) memelihara arnab sebagai haiwan kesayangan, kini bertukar menjadi tarikan terbaharu pengunjung ke daerah ini.

Arnab Village atau perkampungan arnab di Kampung Purakagis di sini, milik Jubair Juhinin, menjadi destinasi baharu persinggahan pengunjung, selain keindahan Gunung Kinabalu, kolam air panas Poring, Ladang Sabah Tea atau tagal ikan Kampung Luanti.

Pada mulanya, Jubair, 26, yang juga graduan Sains Akuakultur UMS pada 2013, hanya memelihara sepasang arnab di rumah keluarga di kampung itu.

Kesungguhan membiak dan menambah koleksi haiwan comel terbabit sejak akhir tahun lalu, membolehkan beliau kini memiliki koleksi lebih 200 arnab daripada pelbagai spesies yang dilepas bebas dalam kawasan berpagar seluas kira-kira 100 meter persegi.

Meskipun asalnya tidak merancang menjadikan hobi itu sebagai produk pelancongan baharu, namun keluarga dan rakan-rakan mendorongnya mengembangkan potensi haiwan terbabit sebagai tarikan ke sini sejak Ogos lalu.



MURID Tadika Kemas Kampung Kepangian membuat lawatan di Arnab Village. 





PENGUNJUNG berpeluang memberi makan dan bermain dengan arnab di Arnab Village. -



"Sebelum itu, ada rakan bertanya sama ada mereka berkunjung ke ladang arnab saya kerana tertarik dengan gambar yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

"Apabila datang ke sini, mereka tertarik dan mencadangkan saya membuka ladang arnab kepada kunjungan orang ramai. Mereka membantu menyebarkan gambar dan maklumat mengenai ladang ini hingga menjadi viral.

"Sejak itu, saya mengambil keputusan membuka ladang arnab ini kepada orang ramai mulai Ogos lalu dengan pengunjung dikenakan bayaran masuk RM3 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak," katanya ketika ditemui BH.




Bagi menambah daya tarikan pengunjung, ladang terbabit dijenamakan sebagai Arnab Village Homestay dengan Jubair selaku Pengurus Besar, bekerja sepenuh masa sambil dibantu beberapa ahli keluarga.

Katanya, dalam tempoh dua bulan sejak Ogos lalu, lebih 6,000 pengunjung melawat Arnab Village dengan kebanyakannya terdiri daripada keluarga dan rombongan sekolah termasuk murid tadika.


JUBAIR kini memberi tumpuan sepenuh masa bagi membangunkan Arnab Village. Foto Izhari Ariffin



Ketika ini, lapan spesies arnab dipelihara ladang berkenaan iaitu Holland Lop Ear; Standard Rex; Netherland Dwarf; New Zealand White; France White; Lion Head; Mini Satin dan Anggora.

Semua speseis berkenaan, katanya, diperoleh daripada penternak arnab tempatan termasuk Pusat Pembiakan Unggas dan Arnab (PPUA) Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah (JPHPT) di Bantayan, Tuaran.

"Selain membiakkan arnab sedia ada, saya juga membeli arnab daripada penternak lain untuk menambahkan lagi bilangannya dengan sasaran mencapai 1,000 arnab dipelihara di sini menjelang tahun depan.

"Ketika ini, kami dalam proses membesarkan lagi kawasan ladang arnab. Secara keseluruhan ia membabitkan kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar termasuk ruang letak kereta, restoran, inap desa dan kaunter pendaftaran pengunjung," katanya.

Beliau berkata, setakat ini ladang itu hanya memelihara arnab sebagai tarikan pengunjung dan belum merancang untuk menjadikannya ia sebagai ternakan komersial untuk jualan hidup atau daging.


JUBAIR sentiasa memastikan kebersihan sangkar arnab.



ANTARA anak arnab yang baru lahir di Arnab Village.



Katanya, walaupun berdepan kos pengurusan yang tinggi terutama pembelian makanan haiwan itu, Arnab Village akan terus dikembangkan sebagai destinasi lawatan pengunjung dengan menjadikan ladang berkenaan sebagai mini zoo.

"Saya merancang haiwan peliharaan di ladang ini termasuk kucing dan ayam serama, selain merancang membuka hotel haiwan kesayangan.

"Saya juga akan bekerjasama dengan pengusaha pelancongan untuk membawa pelancong luar melawat ladang ini bagi meningkatkan popularitinya dalam kalangan pelancong asing," katanya.



INFO - Arnab Village

* Terletak di Kampung Purakagis, Ranau
* 1.6 kilometer dari simpang masuk Kampung Kibbas, Jalan Ranau-Kundasang
* Lebih 200 arnab daripada 8 spesies dipelihara
* Sasaran 1,000 arnab menjelang tahun depan
* 6,000 pengunjung melawat dalam tempoh dua bulan sejak Ogos lalu.
67 dibaca

IBU arnab ditempatkan dalam sangkar khas




ARNAB Village terletak di Kampung Purakagis, Ranau.


SEEKOR arnab di Arnab Village, Ranau berehat selepas makan.