Sabtu, 19 Januari 2019

Arnab Village atau perkampungan arnab di Kampung Purakagis jadi tarikan pelancong ke Ranau


Hobi arnab jadi tarikan pelancong ke Ranau






Hobi seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) memelihara arnab sebagai haiwan kesayangan, kini bertukar menjadi tarikan terbaharu pengunjung ke daerah ini.

Arnab Village atau perkampungan arnab di Kampung Purakagis di sini, milik Jubair Juhinin, menjadi destinasi baharu persinggahan pengunjung, selain keindahan Gunung Kinabalu, kolam air panas Poring, Ladang Sabah Tea atau tagal ikan Kampung Luanti.

Pada mulanya, Jubair, 26, yang juga graduan Sains Akuakultur UMS pada 2013, hanya memelihara sepasang arnab di rumah keluarga di kampung itu.

Kesungguhan membiak dan menambah koleksi haiwan comel terbabit sejak akhir tahun lalu, membolehkan beliau kini memiliki koleksi lebih 200 arnab daripada pelbagai spesies yang dilepas bebas dalam kawasan berpagar seluas kira-kira 100 meter persegi.

Meskipun asalnya tidak merancang menjadikan hobi itu sebagai produk pelancongan baharu, namun keluarga dan rakan-rakan mendorongnya mengembangkan potensi haiwan terbabit sebagai tarikan ke sini sejak Ogos lalu.



MURID Tadika Kemas Kampung Kepangian membuat lawatan di Arnab Village. 





PENGUNJUNG berpeluang memberi makan dan bermain dengan arnab di Arnab Village. -



"Sebelum itu, ada rakan bertanya sama ada mereka berkunjung ke ladang arnab saya kerana tertarik dengan gambar yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

"Apabila datang ke sini, mereka tertarik dan mencadangkan saya membuka ladang arnab kepada kunjungan orang ramai. Mereka membantu menyebarkan gambar dan maklumat mengenai ladang ini hingga menjadi viral.

"Sejak itu, saya mengambil keputusan membuka ladang arnab ini kepada orang ramai mulai Ogos lalu dengan pengunjung dikenakan bayaran masuk RM3 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak," katanya ketika ditemui BH.




Bagi menambah daya tarikan pengunjung, ladang terbabit dijenamakan sebagai Arnab Village Homestay dengan Jubair selaku Pengurus Besar, bekerja sepenuh masa sambil dibantu beberapa ahli keluarga.

Katanya, dalam tempoh dua bulan sejak Ogos lalu, lebih 6,000 pengunjung melawat Arnab Village dengan kebanyakannya terdiri daripada keluarga dan rombongan sekolah termasuk murid tadika.


JUBAIR kini memberi tumpuan sepenuh masa bagi membangunkan Arnab Village. Foto Izhari Ariffin



Ketika ini, lapan spesies arnab dipelihara ladang berkenaan iaitu Holland Lop Ear; Standard Rex; Netherland Dwarf; New Zealand White; France White; Lion Head; Mini Satin dan Anggora.

Semua speseis berkenaan, katanya, diperoleh daripada penternak arnab tempatan termasuk Pusat Pembiakan Unggas dan Arnab (PPUA) Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah (JPHPT) di Bantayan, Tuaran.

"Selain membiakkan arnab sedia ada, saya juga membeli arnab daripada penternak lain untuk menambahkan lagi bilangannya dengan sasaran mencapai 1,000 arnab dipelihara di sini menjelang tahun depan.

"Ketika ini, kami dalam proses membesarkan lagi kawasan ladang arnab. Secara keseluruhan ia membabitkan kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar termasuk ruang letak kereta, restoran, inap desa dan kaunter pendaftaran pengunjung," katanya.

Beliau berkata, setakat ini ladang itu hanya memelihara arnab sebagai tarikan pengunjung dan belum merancang untuk menjadikannya ia sebagai ternakan komersial untuk jualan hidup atau daging.


JUBAIR sentiasa memastikan kebersihan sangkar arnab.



ANTARA anak arnab yang baru lahir di Arnab Village.



Katanya, walaupun berdepan kos pengurusan yang tinggi terutama pembelian makanan haiwan itu, Arnab Village akan terus dikembangkan sebagai destinasi lawatan pengunjung dengan menjadikan ladang berkenaan sebagai mini zoo.

"Saya merancang haiwan peliharaan di ladang ini termasuk kucing dan ayam serama, selain merancang membuka hotel haiwan kesayangan.

"Saya juga akan bekerjasama dengan pengusaha pelancongan untuk membawa pelancong luar melawat ladang ini bagi meningkatkan popularitinya dalam kalangan pelancong asing," katanya.



INFO - Arnab Village

* Terletak di Kampung Purakagis, Ranau
* 1.6 kilometer dari simpang masuk Kampung Kibbas, Jalan Ranau-Kundasang
* Lebih 200 arnab daripada 8 spesies dipelihara
* Sasaran 1,000 arnab menjelang tahun depan
* 6,000 pengunjung melawat dalam tempoh dua bulan sejak Ogos lalu.
67 dibaca

IBU arnab ditempatkan dalam sangkar khas




ARNAB Village terletak di Kampung Purakagis, Ranau.


SEEKOR arnab di Arnab Village, Ranau berehat selepas makan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan