Jumaat, 18 Januari 2019

Homestay Lonek menampilkan penginapan berkonsepkan keluarga angkat, calet dan perkhemahan



Homestay Lonek yang terletak di Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan menawarkan suasana kampung sebenar




BUKAN mudah untuk memilih kemudahan inap desa yang benar-benar menjanjikan kelainan kepada pengunjung tempatan mahupun luar negara yang ingin bersantai dalam suasana kampung sebenar.

Bagaimanapun, Homestay Lonek yang terletak di Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan adalah salah satu daripada inap desa yang dikatakan mampu memenuhi keinginan tersebut dengan pelbagai aktiviti yang dapat memberi pengalaman bermakna kepada pengunjung.

Menangkap ikan dalam lumpur menjadi salah satu aktiviti menarik di Homestay Lonek, Jempol, Negeri Sembilan.


Terletak kira-kira satu jam 30 minit pemanduan dari Plaza Tol Senawang, Seremban atau tiga jam perjalanan dari Kuala Lumpur, inap desa itu menampilkan penginapan berkonsepkan keluarga angkat, calet dan perkhemahan.

Apabila melangkah kaki di inap desa tersebut, pengunjung akan dapat menikmati pemandangan sawah padi yang menghijau dan disambut dengan paluan gendang pacek yang menjadi tradisi di negeri ini.


Pintu gerbang yang menyambung kehadiran pelancong di Homestay Lonek.



Bukan itu sahaja, nama inap desa yang diambil sempena sebatang pokok Sempunek itu menyediakan 32 buah rumah yang dijadikan penginapan berkonsepkan keluarga angkat, lima unit calet dan 40 unit khemah yang mampu memuatkan sehingga 160 orang dalam satu-satu masa.

Antara kelebihan inap desa itu termasuklah menyediakan aktiviti seperti tinggal bersama keluarga angkat, demonstrasi memasak makanan tradisional seperti dodol dan emping padi, sukan rakyat, menoreh getah dan yang paling menarik ialah ‘mengoca’ ikan atau menangkap ikan menggunakan tangan.

Pelancong turut merasai pengalaman menanam padi yang merupakan pengalaman baharu mereka.



Inap desa itu turut menyediakan pakej penginapan pada harga berpatutan iaitu serendah RM100 bagi perkhemahan, RM150 hingga RM250 bagi penginapan rumah kampung dan RM150 calet.

Pengerusi Koperasi Homestay Lonek Jempol Berhad, Nor Asiah Haron berkata, tarikan utama pengunjung ke inap desa tersebut adalah suasana kampung yang indah, kepelbagaian aktiviti dan penduduk yang mesra dan ramah.




“Baru-baru ini, inap desa kami menerima Anugerah Koperasi Terbaik kategori Industri Asas Tani Sempena Hari Koperasi Negara peringkat Negeri Sembilan dan tahun lalu, kami menerima Anugerah Asean Homestay Standard 2016,” katanya.

Menurut Nor Asiah, pengunjung yang datang bukan sahaja dari dalam negara, malah turut menjadi pilihan utama pelancong dari Asia dan Eropah.

Ujarnya, sambutan yang menggalakkan membuatkan Nor Asiah tidak pernah risau untuk menerima lebih daripada satu kumpulan pelancong pada satu-satu masa kerana yakin dengan keupayaan pihak pengurusan untuk mengendalikan setiap pengunjung.

“Ada ketika, kami menerima sehingga tiga kumpulan dalam satu-satu masa. Sebab itulah, kami sentiasa menambah infrastruktur sedia ada agar dapat menampung bilangan pengunjung, selain memberi kepuasan dan keselesaan kepada mereka,” katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan