Jumaat, 18 Januari 2019

Idea kreatif Tiny Station Boutique Homestay menggunakan barangan terpakai untuk dekorasi

Barang kitar semula ceriakan Tiny Station



VIRAL di laman Internet baru-baru ini membawa kru Mingguan Malaysia mengembara sehingga ke Meru, Klang untuk melihat sendiri keunikan hiasan dalaman Tiny Station Boutique Homestay.

Menjengah masuk ke dalam inap desa ini, ternyata pemiliknya sungguh kreatif dalam menata hias setiap ruang dalam menggabung padan warna, corak dan barangan agar tampil lain daripada yang lain.

Tumpuan utama ke binaan empat buah inap desa yang dinamakan dengan nama yang cukup klasik setiap bilik iaitu Mahsuri, Selendang Delima, Siti Zawiah dan Tun Fatimah yang hadir dengan konsep tersendiri.

Bilik Tun Fatimah yang berkonsepkan nautika banyak menggunakan warna biru, merah dan putih serta barangan yang berkaitan dengan pantai


Kebanyakan barangan dan perabot di dalam Tiny Station menggunakan barang kitar semula yang diolah dengan penuh kreatif oleh pemiliknya.

Bersaiz 18 kaki x 12 kaki setiap rumah, ia dihiasi dengan tema yang menarik. Bilik Mahsuri berkonsepkan dunia glamor Hollywood yang klasik yang banyak menggunakan perhiasan daripada barang kemas dan alat solek dan banyak bermain dengan warna merah manggis dan firus. Turut diselitkan hiasan berwarna emas yang memberikan imej glamor.


Bilik penginapan berkonsepkan desa Inggeris yang kelihatan nyaman dan selesa

Bilik Selendang Delima pula berkonsepkan desa Inggeris yang kelihatan nyaman dan selesa. Paduan warna hijau dengan kuning air lengkap dengan hiasan comel menceriakan desa Inggeris dan memberi suasana yang tenang bila memasuki bilik tersebut.

Bagi mereka yang gemar dengan konsep nautika, bilik Tun Fatimah merupakan paling sesuai dengan jiwa mereka. Banyak menggunakan warna biru, merah dan putih, pemiliknya, Nurfaezah Abd. Rahim, bijak menata hias ruang tersebut dengan penggunaan barang berkaitan laut seperti pelampung keselamatan, pendayung dan jala yang dicat semula menjadi lebih ceria. Akhir sekali, bilik Siti Zawiah yang ceria bermain dengan warna kuning dan biru firus disertai hiasan gabung padan yang comel dan unik.

Nurfaezah nekad menyediakan rumah inap yang terbaik kerana pengalamannya di rumah inap lain sebelum ini


Namun, apa yang paling menarik perhatian sebenarnya ialah kreativiti Nurfaezah mengitar semula pelbagai barang menjadi hiasan lain membuatkan ia begitu eksklusif dan tidak boleh didapati di tempat lain.

Jika diteliti, sebahagian besar barang di dalam inap desa itu dikitar semula menjadi hiasan yang unik malah perabot yang berbeza dari asal. Sebagai contoh, pintu gelangsar pada bahagian bilik air dipercayai merupakan pintu rumah lama yang dibersihkan dan dicat semula lalu dihantar kepada tukang besi untuk diletakkan rel serta engsel lori bagi menggabungkannya menjadi pintu gelangsar.




Bagasi lama diletakkan di atas para menjadi tempat letak barang yang sungguh unik. Pili bomba lama yang telah dicat kembali turut menghiasi bilik menambah keunikan hiasan dalaman Tiny Station Boutique Homestay.

Terdapat juga hiasan yang menggunakan alat solek dan botol minyak wangi lama diletakkan ke dalam bingkai khas membuatkannya sungguh unik dan bersifat personal. Tidak lupa terendak lampu dari pelbagai barang seperti mangkuk penapis dan kutleri.

“Kebanyakan barang yang digunakan merupakan koleksi peribadi keluarga yang lama dikumpul dan digunakan semula bagi mengelakkan pembaziran selain memberi kelainan kepada hiasan dalaman.

“Kadangkala apabila ada rakan atau saudara memberitahu mereka mahu mengubah suai rumah, saya akan mengambil barang yang mereka tidak mahukan lagi contohnya tingkap atau pintu, lalu dibersihkan dan diubah-suai menjadi barang lain. Selalunya pemilik asal juga terkejut barang yang mereka buang boleh diubah suai sedemikian.






“Selain itu, saya sering keluar memburu barangan hiasan untuk perniagaan perancang majlis membuatkan saya sering menemui barangan pelik. Mungkin kerana pekerjaan saya sebagai perancang majlis membuatkan saya lebih kreatif dalam membayangkan ‘masa depan’ setiap barang tersebut,” ujarnya yang turut memiliki perniagaan Wedding Station.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan