Sabtu, 19 Januari 2019

Bercuti di kampung, gogoh ikan di Homestay Sungai Haji Dorani



KEPUASAN berjemur di pantai, mendaki bukit dan gunung, bermalas-malasan dalam bilik hotel empat atau lima bintang pastinya berbeza dengan keseronokan menghabiskan cuti di kampung.




Ia benar-benar dirasai oleh mereka yang memang tidak mempunyai kampung atau sudah lama meninggalkan kampung halaman.

Malahan mereka yang ada kampung juga boleh memilih percutian di desa untuk merasai kelainan suasana di halaman orang berbanding tempat sendiri.

Bergantung kepada tempat, kalau berkunjung ke bendang, boleh menikmati bau sawah, pengalaman meleraikan padi daripada tangkainya, memancing ikan darat seperti puyu, sembilang, sepat atau haruan.

Anda juga menikmati keseronokan bergelumang lumpur dan bermain permainan tradisional, congkak, wau atau tarik upih pinang.






Menjadi budak kampung tidak semestinya jauh daripada kemudahan gajet berteknologi, namun lepak bersama kawan sekampung, berkejaran menghambat haiwan, mengusik rakan serta mandi sungai beramai-ramai antara adegan mencuit memori.

Jadi, selepas puasa dan raya nanti, bolehlah anda mengajak kawan atau keluarga bercuti dalam suasana kampung dengan berkunjung dan menginap di Sungai Haji Dorani di Sungai Besar, Selangor.

Penyelaras Pusat Penginapan Dorani, Abd Rahman Daud, berkata kehidupan di kampung menyeronokkan bagi individu tahu menghargai keindahan alam dan destinasi eko-pelancongan.

"Pelancong dari Jepun, Singapura dan Korea paling gemar menginap di desa ini berikutan lokasi mesra alam, menyamai kebudayaan masyarakatnya dan mencuba sesuatu lain daripada lain.

"Biasanya, bilangan pengunjung meningkat setiap bulan sekitar 500 orang tetamu atau 7,000 pengunjung setahun," katanya.

Abd Rahman berkata, perkampungan Sungai Dorani popular dalam kalangan masyarakat tempatan yang tidak ada kampung halaman dan merindukan destinasi alam semula jadi.

Antara aktiviti istimewa di sini adalah gogoh ikan iaitu sebutan bahasa Jawa bermaksud menangkap ikan dengan tangan dalam sawah, parit atau tali air yang air cetek.

Pelancong yang menginap atau sekadar berkunjung sehari sahaja akan menyertai aktiviti yang dilihat seperti kotor kerana mengharungi lumpur atau selut tetapi meriah, dan keseronokan dengan hilai ketawa cukup dirasai apabila berjaya aneka jenis ikan darat yang dilepaskan ke dalam kolam.

"Aktiviti gogoh memang aktiviti dinantikan pelancong kerana mereka boleh belajar cara menangkap ikan menggunakan tangan, yang biasanya mengundang gelak ketawa.

"Mereka lebih banyak bermain lumpur dan berseronok. Aktiviti itu tidak membosankan," katanya.


ANTARA aktiviti mengogoh ikan.





Santai dengan aktiviti orang kampung

Pada waktu petang, tetamu boleh melakukan aktiviti santai dengan melihat proses pembuatan kuih Melayu tradisional; mencuba pemprosesan produk industri kecil dan sederhana menggunakan bahan tempatan, menumbuk padi, mewarnakan batik canting atau bermain layang-layang.

Pada sebelah malam, pelancong dibawa mengelilingi kampung menghayati keindahan bulan bintang, menikmati lambaian pepohon kelapa yang menenangkan jiwa, menyedut udara segar dan mengenali flora fauna liar.

Pengembara makanan, kata Abd Rahman, pasti teruja merasai makanan kampung popular disediakan masyarakat Jawa secara bergotong-royong antaranya, masakan ' pecel lele ' (ikan keli masak kencur), kulit lembu masak, sambal taun dan pecal Jawa.

Untuk tempahan, pelancong berkumpulan perlu membuat tempahan awal seawal sebulan sebelum tarikh lawatan, membuat bayaran pendahuluan 50 peratus dan bayaran baki ketika berkunjung ke lokasi berkenaan.

"Biasanya, satu keluarga angkat berupaya menerima empat orang pada satu-satu masa. Sekiranya datang berkumpulan antara 40 hingga 80 orang lebih baik," katanya.


SEJUKKAN tekak dengan cendol.





INFO


  • Harga pakej antara RM65 seorang hingga RM280
  • Minimum setiap pakej ialah 40 orang
  • Harga pakej berdasarkan lawatan sehari hingga penginapan 3 hari 2 malam
  • Aktiviti ditawarkan bergantung kepada pakej yang dipilih
  • Terdapat aktiviti tambahan bergantung kepada permintaan tetapi dikenakan bayaran berasingan.


Aktiviti tambahan berbentuk persembahan tetapi dikenakan bayaran berasingan

* RM200

Persembahan kompang dan bunga manggar

* RM400

Silat Jawa

* RM500

Kuda Kepang

* RM850

Tarian Melayu, gamelan atau wayang kulit

* RM1,500

Pakej persandingan pengantin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan