Isnin, 7 Januari 2019

Idea pasangan guru hias homestay konsep kotej ala eropah di Port Dickson

YUSLAN IBRAHIM bersama isteri, Hazrina Che Idris dan anak-anak di hadapan kediaman idaman mereka. 

Kotej comel ala Eropah



Setiap orang pasti mempunyai kediaman idaman mereka tidak kira ia bersaiz besar atau kecil, setingkat atau lebih, atau mungkin lebih selesa memilih untuk membina sendiri rumah impian dengan cara tersendiri.


Seperti Yuslan Ibrahim dan isterinya, Hazrina Che Idris, bergelar seorang guru tidak menghalang mereka untuk merencanakan kediaman yang bukan sahaja cantik, bahkan diberi elemen-elemen yang jarang dilakukan orang lain.


Jika menjengah ke Kampung Sawah Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan, pasti mata akan terpaku pada titik lokasi dua buah rumah milik guru itu, yang tersergam indah bagai kediaman kotej desa di kebanyakan negara Eropah.

Pemilihan warna pastel iaitu merah jambu lembut dan hijau kebiruan dengan tambahan bingkai jendela, jeriji dan pintu putih, sungguh mendamaikan.

Tidak cukup dengan mainan padanan warna cat, hampir keseluruhan sudut halaman rumah berkenaan dihias dengan cermat apabila kedua-dua rumah tersebut dilihat bagai dua beradik yang diletak bersebelahan.

Karpet rumput hijau yang menjadi pemisah antara dua kediaman itu menambah elemen segar dan kedesaan, selain pergola kayu putih siap dengan buaian yang diletak sebagai pemisah antara dua struktur.

Tidak cukup itu sahaja, pohon hijau renek disusun rapi berbaris di sebahagian tepi rumah, selain dengan perincian hiasan tambahan seperti basikal lama, yang menaikkan lagi tema desa ala Inggeris itu.

Paling menarik, penggunaan prima plank, iaitu papan tiruan menyerupai papan kayu, digunakan sebagai material dinding luar sebagai menggantikan papan kayu yang agak mahal bagi menampakkan konsep kotej kedesaan itu.


Dua buah rumah ala kotej yang dijadikan homestay oleh encik yuslan dengan hiasan tambahan seperti basikal lama

Menurut Yuslan, idea membina kotej yang kini dijadikan inap desa atau homestay itu, timbul apabila mereka sekeluarga sering bercuti ke luar negara.

Dari situ mereka memasang impian untuk memiliki sebuah rumah yang berkonsepkan minimalis.

Katanya, yang gemar melayari Internet bagi melihat konsep-konsep kediaman, idea berkenaan seakan-akan sukar dilaksanakan memandangkan kos untuk mendapatkan khidmat pereka dalaman agak mahal.



“Sebelum ini kami tinggal di kawasan perumahan, jadi agak sukar untuk melaksanakan tema kotej sebegini. Namun, apabila dapat membina rumah di tanah luas seperti ini, kami berusaha merealisasikannya.

"Tema kotej desa seperti ini amat dekat dengan jiwa kami sekeluarga, sebab itu kami berusaha untuk memenuhi impian tersebut walaupun tidak mudah.

“Saya menyiapkan peringkat demi peringkat dan kebanyakan perhiasan dalaman saya beli sedikit demi sedikit agar kos tidak terlalu mendadak serta membebankan,” ujarnya.

Lazimnya, tidak ramai yang gemar memilih cat berwarna merah jambu sebagai latar keseluruhan luar kediaman, namun berbeza buat Yuslan apabila berani memilih warna yang amat sinonim dengan wanita itu.

Bukan di bahagian luar sahaja, menjengah masuk ke dalam rumah berkenaan, mata seakan terpaku dengan biasan cahaya daripada cat merah jambu dan ungu lembut yang melatari hampir keseluruhan rumah tersebut.

Lari daripada konsep kebiasaan kotej Inggeris yang sarat dengan perhiasan motif flora, Yuslan dan isteri memilih hiasan dalaman yang moden minimalis tanpa dekorasi keterlaluan.



Setiap sudut direncanakan dengan teliti bermula dari ruang tamu, bilik tidur utama, bilik tidur anak, ruang dapur serta lantai dan perhiasan dinding.

Hanya memperuntuk lebih kurang RM10,000 untuk dekorasi, Yuslan juga bijak menata hias kediaman dengan padanan cat rona lembut dengan tambahan fokus dinding utama rona hitam yang memberikan titik tumpu pada ruang bilik.

“Bagi menambah unsur glamor, setiap bilik diberi nilai tambah dengan perincian aksesori hiasan warna gansa (bronze) bagi menaikkan seri keseluruhan ruang, selain penggunaan pokok hijau tiruan di sudut tertentu.


bilik tidur yang dihias kemas ala inggeris

“Lantai pula, saya memilih menggunakan lantai berlamina kayu pada ruang tamu dan banyak menggunakan perabot berasaskan kayu, manakala lantai bilik menggunakan jubin biasa dan perabot rona putih menjadi pilihan,” katanya yang mempunyai tiga cahaya mata.

Jelas Yuslan, konsep kotej sebegitu sesuai dilaksanakan di negara ini, cuma perlu ditambah baik bagi menyesuaikan dengan iklim tempatan, seperti membina beranda yang diletakkan bidai penahan panas, serta perlu melebihkan struktur binaan tingkap untuk ruang pengudaraan yang lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan