Isnin, 7 Januari 2019

Inap desa berciri kampung tarik pelancong di Bagan Datuk


Persatuan Inap Desa Bagan Datuk mempunyai 77 pengusaha di 13 kampung dan diiktiraf Kementerian Pelancongan apabila ahlinya dilesenkan untuk menjalankan perusahaan inap desa mereka.



inap desa yang berciri rumah kampung di Bagan Datuk, Perak.



Sejak diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu menjadi Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan pada 2006, jumlah inap desa semakin bertambah di daerah ini.

Persatuan itu diiktiraf Kementerian Pelancongan apabila ahlinya dilesenkan untuk menjalankan perusahaan inap desa mereka.

Pengerusi Penyelaras Homestay Bagan Datuk, R. Azmi Abdul Wahab berkata, persatuan itu merupakan antara 11 persatu­an inap desa di Perak selain persatuan sama di Bukit Gantang, Gopeng, Chenderong di Selama, Kampung Beng di Gerik, Sungai Kelah, Pendiat di Bota, Sungai Manik dan Felcra Seberang Perak.


bilik tidur lebih selesa untuk pengunjung inap desa yang berciri rumah kampung.




Menurutnya, pelaksanaan program secara bersama dilihat sebagai pendekatan yang sangat baik ke arah meningkatkan lagi inap desa.

Katanya, untuk menarik pelancong, inap desa menyediakan aktiviti mengikut pakej seperti menyaksikan tarian lenggok dan dabus, bubu menari, zapin dan silat serta me­ngupas kelapa tua cara lama.

“Permainan tradisional juga diadakan seperti permainan galah panjang, seremban, cong­kak, rebana Jawa, tidak lupa juga berendoi sambil berzanji dan marhaban supaya pelancong lebih mengetahui kebudayaan dan sejarah orang Melayu.

keadaan dalam salah satu rumah inap desa di bagan datuk

“Kedatangan pelancong luar negara semakin mening­kat antaranya dari England, Jepun dan Singapura yang cukup gembira apabila dibawa bersiar-siar melihat suasana kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

R. Azmi berkata, pelancong juga diberikan kesempatan melihat kenduri kahwin orang Melayu, mencuba masak nasi minyak kawah, merasai gulai da­ging kambing kawah, sambal kelapa, ulam jantung pisang, masakan ikan sepat, puyu, keli dan haruan.

“Pelancong juga merasai pe­ngalaman menangguk udang dan menggagau ikan sepat, haruan di tali air dan melihat proses membuat ikan masin dan belacan,” katanya.




Sementara itu, seorang pengusaha inap desa di Kampung Sungai Balai di sini, Ahmad Hari Hadi, 67, berkata, tempahan inap desa me­ningkat pada hujung minggu.

Katanya, ini kerana pada masa itu ibu bapa melawat anak mereka di beberapa sekolah berasrama penuh di sini dan sekolah agama.

“Peluang ini kami gunakan untuk memasarkan produk tempatan seperti jus pegaga, produk berasaskan kelapa dan jeli kelapa,” katanya



Tiada ulasan:

Catat Ulasan