Sabtu, 19 Januari 2019

Fish Spa semulajadi di sungai produk pelancongan 'paling laris' di homestay Kampung Luanti, Ranau


Inap desa gaya 1Malaysia di Kampung Luanti, Ranau





HOMESTAY Kampung Luanti, Ranau tonjol konsep perpaduan pelbagai etnik.



KEINDAHAN dan kejernihan sungai di Kampung Luanti, Ranau, kira-kira 130 kilometer dari Kota Kinabalu, bukan sahaja menjadi kebanggaan penduduk, malah antara lokasi pelancongan yang sangat popular di Sabah.

Antara produk pelancongan 'paling laris' di kampung berkenaan ialah urutan ikan semula jadi di Sungai Luanti yang tidak putus-putus dikunjungi pelancong, sama ada dari dalam atau luar negara.

Walaupun terkenal dengan urutan ikan atau 'fish spa', Kampung Luanti yang terletak 18 kilometer dari pekan Ranau sebenarnya memiliki banyak lagi produk pelancongan lain termasuklah inap desa yang diusahakan penduduk.

Bagaimanapun, masih ramai belum mengetahui keunikan inap desa di kampung berkenaan termasuklah Tagal Luanti Homestay yang sangat istimewa.


Selain bentuk penginapannya yang unik, Tagal Luanti Homestay boleh dianggap sebagai homestay 1Malaysia kerana reka bentuk cat yang ada pada setiap inap desa atau 'rumah' mewakili semua suku kaum di negara ini.



REKA bentuk atau ukiran cat pada setiap rumah penginapan berbeza dengan masing-masing mewakili beberapa suku kaum utama di Malaysia.




Pengusahanya, Jeffrin Majangki berkata, setiap rumah penginapan yang dibina mempunyai erti dan maksud tertentu.

"Ia dibina dalam pelbagai bentuk yang mempunyai kaitan dengan tradisi masyarakat di Sabah seperti bentuk gong, tajau, sirung dan banyak lagi.

"Selain itu, reka bentuk atau ukiran cat pada setiap rumah penginapan berbeza dengan masing-masing mewakili beberapa suku kaum utama di Malaysia, khususnya Sabah.

"Antaranya termasuk ukiran daripada suku kaum Bajau, Dusun, Rungus, Lotud, Sungai, Tatana, Murut, Iban, Melayu, Cina dan India," katanya.







Jeffrin berkata, beliau terfikir membina inap desa berkenaan kira-kira dua tahun lalu dan mendapat ilham daripada konsep 1Malaysia yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya terfikir untuk membina homestay yang bukan sahaja bersifat perpaduan malah memiliki keunikan tersendiri.

"Apabila bermalam di sini, pengunjung akan lihat rumah penginapan berkonsepkan pelbagai kaum dan terletak berhampiran, itulah mesej yang saya cuba tonjolkan. walaupun berbeza kaum, kita boleh tinggal di kawasan yang sama," katanya.

Beliau berkata, selain ukiran kaum di Malaysia, beliau mewujudkan tiga rumah penginapan yang berkonsepkan tiga negara iaitu British, Portugis dan Jepun.


ANTARA tarikan di Homestay Kampung Luanti.





"Tiga negara itu pernah 'mengukir' sejarah di negara kita, selain menonjolkan konsep perpaduan, Tagal Luanti Homestay memiliki ciri-ciri sejarah untuk menjadikan homestay ini lebih menarik," katanya.

jeffrin yang juga Pengerusi Tagal Daerah Ranau, berkata beliau kini memiliki 15 rumah penginapan yang mempunyai pelbagai kemudahan termasuk tempat tidur, tandas, penghawa dingin, pemanas air dan beberapa kemudahan lain.

Tagal Luanti Homestay mula dibuka Februari 2014 dan sambutan agak menggalakkan.






Selain rumah penginapan, pelbagai aktiviti boleh dilakukan oleh pengunjung, termasuk menikmati urutan ikan di Sungai Luanti dan berjalan dalam hutan (jungle trekking).

"Apabila kita menjalankan aktiviti jungle trekking yang terletak tidak jauh dari sini, kita akan menemui satu air terjun yang cantik dan boleh mandi-manda di situ," katanya.

Beliau juga dalam perancangan untuk membina sebuah kolam besar berhampiran dengan rumah penginapan di Tagal Luanti Homestay.

"Ia bagi menambah aktiviti pengunjung termasuk berkayak serta memancing. Saya juga akan melakukan kerja lanskap bagi mengindahkan lagi kawasan Tagal Luanti Homestay," katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai Tagal Luanti Homestay boleh menghubungi talian 088-876988.


PELANCONG mencuba spa ikan di Sungai Luanti.





INFO - Tagal Luanti Homestay


  • Terletak di Kampung Luanti, Ranau - kira-kira 130km dari Kota Kinabalu
  • Terletak kurang setengah jam perjalanan dari Gunung Kinabalu
  • Berhampiran Sungai Luanti yang terkenal dengan aktiviti 'fish spa'
  • Menyediakan 15 rumah penginapan pelbagai reka bentuk unik



Tiada ulasan:

Catat Ulasan