Sabtu, 19 Januari 2019

Lima kluster inap desa yang berjaya menjana pendapatan tinggi tahun 2017 di Malaysia



Lima kluster inap desa jana pendapatan tinggi


Lima kluster inap desa di negara ini berjaya menjana pendapatan tinggi berdasarkan penilaian prestasi semasa, tahun lalu.






Homestay Taman Sedia di Cameron Highlands, Pahang, mendahului senarai dengan janaan pendapatan RM9.5 juta, diikuti Homestay Kampung Kuala Medang, Kuala Lipis (RM1.8 juta); Homestay Kampung Parit Tengah, Batu Pahat, Johor (RM1.05 juta); Homestay Misompuru, Kudat, Sabah (RM1.01 juta) dan Homestay Desa Murni Kerdau, Temerloh, Pahang (RM900,000).


Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata terdapat 206 kluster inap desa di seluruh negara mendaftar menerusi Program Pengalaman Homestay Malaysia membabitkan seramai 3,994 pengusaha.




"Jumlah itu membabitkan penawaran sebanyak 5,604 bilik dengan program Pengalaman Homestay Malaysia pada tahun lalu menjana pendapatan RM30.1 juta, berbanding RM27.7 juta pada tahun sebelumnya.

"Di Melaka pula, terdapat sembilan kluster inap desa di sembilan kampung membabitkan 137 pengusaha dengan penawaran 217 bilik mendaftar dengan pihak kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Silang Budaya Bersama Pelajar Jepun di Dataran Inap Desa Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.




Pada program itu, seramai 78 pelajar, termasuk 23 dari Jepun berpeluang mengalami suasana kehidupan di kampung, selain didedahkan dengan budaya masyarakat Melayu dalam satu majlis perkahwinan dan majlis keraian.

Yang turut hadir, Pengarah Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Jeffri Munir.

Mas Ermieyati berkata, program Pengalaman Homestay Malaysia anjuran kementeriannya bertujuan meningkatkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam sektor pelancongan berasaskan komuniti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan