Sabtu, 19 Januari 2019

Perniagaan inap desa atau 'homestay' menawarkan potensi kepada pelabur hartanah untuk menjana pendapatan tinggi

Perniagaan inap desa atau 'homestay' menawarkan potensi kepada pelabur hartanah untuk menjana pendapatan tinggi berikutan terdapat peningkatan dalam aktiviti pelancongan domestik pada masa ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCribBooking.com, Akmal Nizam Abd Halim, berkata perniagaan itu juga dilihat sebagai platform terbaik dalam membantu mereka untuk mengelakkan diri daripada berada dalam aliran tunai negatif kerana terpaksa membayar ansuran bank yang tinggi untuk pinjaman hartanah masing-masing.

"Pelabur hartanah memang boleh memanfaatkan unit hartanah mereka melalui perniagaan inap desa ini namun kebanyakan dari mereka masih tidak melaksanakan strategi tepat dalam menjalankan aktiviti terbabit," katanya pada sesi perbincangan mengenai 'Strategi Homestay' bersempena Pameran Hartanah MyRumah 2018 di sini, hari ini.




PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCribBooking.com, Akmal Nizam Abd Halim berucap pada Pameran Hartanah MyRumah 2018



Beliau berkata, pelabur hartanah perlu menetapkan matlamat utama dalam menjalankan perniagaan ini dan tidak seperti perniagaan rumah sewa bagi memastikan ia mampu memberi pulangan baik kepada mereka.

Menurut beliau, mereka juga harus memilih lokasi yang tepat dengan melakukan kajian teliti dan menilai potensi kawasan terbabit bagi membolehkan kadar pendudukan inap desa mereka berada pada tahap baik.

"Mereka perlu tahu menawarkan harga menarik kepada pelanggan bergantung kepada musim dan tidak hanya memberi harga tetap pada setiap masa bagi menarik lebih ramai pelanggan," katanya.



Dalam masa sama, Akmal berkata, pelabur hartanah mesti lebih kreatif dalam melaksanakan strategi pemasaran dengan memaparkan unit inap desa mereka melalui platform atas talian dengan kualiti gambar yang tinggi.

"Pelabur hartanah juga perlu lebih komited dalam aspek pengurusan melalui pengendalian unit secara lebih cekap dengan menawarkan perkhidmatan hospitaliti berkualiti tinggi seperti hotel," katanya.

Sementara itu, beliau berkata perniagaan rumah tamu boleh dipertimbangkan sebagai langkah terbaik dalam mengelakkan aliran tunai negatif dalam kalangan pelabur hartanah sedia ada di mana ia boleh menjana pendapatan lumayan.

"Untuk pelabur hartanah baru, mereka boleh menjalankan perniagaan rumah tamu ini dengan memilih lokasi yang memiliki ciri seperti berada di kawasan perniagaan, pendidikan dan pelancongan bagi memastikan ia mampu memberi pulangan baik kepada mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan