Sabtu, 19 Januari 2019

Bermalam atas pokok pengalaman baru di Ponohuan Homestay dekat Kampung Kambizaan, Papar, Sabah.

Pengalaman Bermalam atas pokok idea kreatif Ponohuan Homestay


suasana kedamaian dan keindahan alam semula jadi

BERGAYUT di buaian di atas permukaan sungai pasti menjanjikan kelainan serta pengalaman mengujakan buat menanti pengunjung apabila menginap di Ponohuan Homestay dekat Kampung Kambizaan, Papar, Sabah.

Terletak kira-kira sejam perjalanan dari Kota Kinabalu, Ponohuan Homestay boleh dikategorikan sebagai lokasi pelancongan baharu, namun mempunyai daya tarikan tersendiri khususnya bagi mereka yang ingin menikmati suasana kedamaian dan keindahan alam semula jadi.

Di sekitar kawasan inap desa terbabit, pengunjung boleh melihat kejernihan sungai sehingga memperlihatkan batu sungai dan ikan kelah atau dikenali sebagai ikan pelian dalam bahasa Kadazandusun.

Pemandangan yang tentu sahaja menenangkan jiwa sesiapa saja, terutama mereka yang mahu lari seketika dari kesesakan suasana kota.

Bagi pengunjung yang ingin bermalam dan menikmati percutian lain daripada yang lain, bolehlah menginap di rumah atas pokok.





Rumah beratap rumbia dan berdinding buluh ini dilengkapi dengan keperluan asas seperti tilam, kipas, cermin serta kelambu untuk melindungi pengunjung daripada serangga.

Lebih menarik, pengunjung boleh membuka tingkat dari dalam rumah berkenaan untuk menikmati pemandangan sungai, sambil sesekali dihiburkan dengan kicauan burung.

Setakat ini, pengurusan inap desa menyediakan tiga rumah atas pokok dinamakan Pelian, Sarawi dan Tigas, dengan setiap satu boleh memuatkan antara empat hingga lima orang.



Kawasan sekitar inap desa ini juga menyediakan tapak untuk aktiviti BBQ dan perkhemahan.

Di inap desa ini, pengunjung diberi pilihan untuk memasak sendiri atau boleh memesan makanan dengan pengurusan Ponohuan Homestay untuk menyediakan hidangan sepanjang hari dengan jumlah bayaran tertentu.

Pengunjung yang ingin pengalaman lebih mencabar, bolehlah mencuba aktiviti berakit buluh menyusuri sungai di perkampungan berkenaan.






Jangan takut-takut, jaket keselamatan disediakan, malah aktiviti itu dipantau oleh pekerja Ponohuan Homestay bagi memastikan keselamatan.

Ponohuan Homestay diusahakan tiga adik-beradik, Jailin, Rose dan Nurul Saikun, sejak tahun lalu.



INFO

RM80 bayaran penginapan untuk satu malam.

Bayaran masuk: RM5 untuk dewasa, RM2 untuk yang berusia bawah 12 tahun.

Untuk keterangan lanjut, hubungi Donna di talian 010-9411109 atau Jailin (016-8825972), Nurul (014-2021208) dan Rose (016-8471786).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan