Ahad, 6 Januari 2019

Pengalaman bercuti dalam ladang di UK Farm Agro Resort (UK Farm) Ayer Hitam, Johor


Bercuti dalam ladang


Pemandangan indah padang ragut menghijau umpama berada di ladang luar negara menjadikan ladang UK Farm Agro Resort (UK Farm) terletak di Ayer Hitam, Johor menjadi destinasi pelancongan yang unik untuk dikunjungi.

Bukan sahaja suasana pemandangan seindah poskad boleh didapati di UK Farm, malah lebih istimewa pelbagai aktiviti bagi merasai kehidupan sebenar di ladang turut ditawarkan kepada pengunjung.

Aktiviti termasuk berkunjung ke taman bunga lavender, melawat zoo mini, memberi makan dan menyusukan kambing, memberi makan kepada burung unta berjari dua, itik, ayam, rusa serta arnab, menunggang kuda, menaiki kereta kuda mahu pun mengejar dan menangkap kambing di padang ragut luas seperti di New Zealand, semuanya terdapat di UK Farm.

Beroperasi sejak tahun 2010, UK Farm kini menjadi produk pelancongan unik semakin terkenal di selatan tanah air berikutan menawarkan konsep agro pelancongan lengkap seperti ditawarkan di ladang pertanian berskala besar seperti di negara luar.


PELANCONG juga boleh menggunakan kereta kuda dan menunggang kuda bagi meneroka kawasan di sini



Terletak kira-kira 15 kilometer dari pekan pelancongan Ayer Hitam, UK Farm menjadi antara produk hasil peserta Projek Pertanian Moden Kluang di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dijadikan contoh, malah dikagumi pelancong luar termasuk dari Singapura, Jepun, Korea dan China.

Kini semakin mencipta nama sebagai pusat agro pelancongan terkemuka Asia apabila saban tahun berjaya menarik lebih 3,000 pelajar dari Jepun, Korea dan China untuk lawatan sambil belajar dari sekolah menengah dan kolej di negara itu.

Pengarah Urusan UK Farm, Goh Un Keng, 48, berkata pembukaan UK Farm dirintis selepas kejayaannya menceburi bidang penternakan kambing susu dan daging di Parit Yaani, Yong Peng dengan nama UK Farm sebenarnya diambil daripada pangkal namanya iaitu Un Keng.

Dengan keluasan ladang 40 hektar dipenuhi padang ragut, tapak rumput napier dan dimulakan dengan kandang kambing serta ladang markisa, Un Keng mengambil inisiatif memajukan sektor agro pelancongan khusus untuk menawarkan percutian gaya ladang lengkap yang biasanya hanya dapat dinikmati di negara luar.

"Pelawat ke sini cukup tertarik dengan konsep kelestarian alam semula jadi kerana kambing diternak diberi makan kulit buah markisa.

“Rumput diragut di sini, najis kambing pula saya gunakan semula sebagai baja untuk pokok markisa dan tanaman buah-buahan lain.


haiwan seperti burung unta, landak, itik dan ayam belanda di Zoo Mini pasti menceriakan kanak-kanak
 


"Selain kulit buah markisa boleh dijual sebagai makanan tambahan untuk kambing, di sini kami turut memproses sendiri buah markisa untuk dijadikan jus, manakala susu kambing diperah, dijual di pasaran selain dijadikan produk termasuk aiskrim, yogurt, syampu, sabun dan losen badan," katanya.

Un Keng berkata, bagi memenuhi keperluan pelancong, UK Farm turut menyediakan kemudahan chalet 19 bilik dibina bagi pelawat berkeluarga dan blok asrama yang boleh memuatkan sehingga 250 orang, selain dilengkapi bilik seminar, dewan makan serta surau.

Selain boleh menikmati pemandangan indah berlatar belakangkan kehijauan padang ragut jenis Purple Guinea di kawasan seluas 18 hektar dan rumput jenis napier di kawasan seluas 10 hektar, pelawat juga boleh menyertai pekerja di ladang markisa dan ladang buah-buahan termasuk durian, seluas 12 hektar.

Bermula dengan melawat taman bunga lavender yang harum dan zoo mini menempatkan binatang termasuk burung merak, nuri, ayam mutiara, monyet dan ular sawa, pengunjung terutama si cilik pasti teruja.

Pengunjung kemudian dibawa meninjau kaedah menghasilkan bahan makanan untuk kambing melalui kombinasi rumput napier dan hampas kacang soya dengan beberapa bahan lain, di samping pemandu pelancong turut memberi penjelasan mengenai kaedah penternakan fidlot.

Pengunjung akan dibawa naik ke kadang kambing kami bagi melihat sendiri hampir 2,000 kambing malah diberi peluang memberi makanan dan menyusukan anak kambing, selain melawat pusat pemprosesan susu kambing yang dijadikan aiskrim, minuman serta yogurt.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan kambing keluar dari kandang menuju ke padang ragut untuk meragut rumput dan lebih istimewa aktiviti termasuk mengejar dan menangkap kambing turut dianjurkan seperti ladang di luar negara.





Pengunjung dibawa ke Arked Tropikal bagi menikmati buah-buahan termasuk air kelapa pandan, betik, markisa, jambu batu dan jambu air, selain meninjau ladang sayuran hidroponik.

Selain pakej bersiar dengan bas mini terdapat juga pakej lain termasuk menunggang kuda, menaiki kereta kuda, aktiviti mengejar dan menangkap kambing selain 'Night Tour' serta pakej bermalam.

Bermula tahun lalu, UK Farm mengadakan program homestay 'kampung angkat' bekerjasama dengan FELDA Ayer Hitam bagi membolehkan pengunjung terutama pelajar dari Jepun, Korea dan China menyelami budaya masyarakat tempatan selain dibawa melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lalang, Kluang bagi program pertukaran budaya.


INFO


  •  Terletak di Lot 8, Projek Pertanian Moden Ayer Hitam KM 13, Jalan Batu Pahat-Kluang (9 kilometer dari Tol Ayer Hitam). 
  • Kemudahan restoran, kedai cenderamata, chalet dan asrama
  • Kawasan BBQ, pentas terbuka dan tapak perkhemahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan