Jumaat, 18 Januari 2019

Homestay Kampung Temenin jana pendapatan sebanyak RM69,475 pada tahun 2017


Keistimewaan Homestay Kampung Temenin Baru menjadi Tumpuan pelancong, dilengkapi pelbagai kemudahan.



Berada jauh daripada hiruk-pikuk bandar, menghirup udara segar sambil menikmati pemanda­ngan mendamaikan bagi menggambarkan suasana sebuah kampung, tentu sekali kedengaran agak klise.







Namun, hakikatnya, itu tetap kata-kata yang tepat untuk menceritakan mengenai suasana di Homestay Kampung Temenin Baru yang terletak di Jalan Tun Habab di sini.


Bukan sahaja suasana kampung itu yang mendamaikan, malah kemesraan penduduk­nya juga membuat sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana tidak kekok dan seronok.


Homestay Kampung Temenin yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya



Maka, tidak hairanlah Homestay Kampung Temenin yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu mencatatkan peningkatan pres­tasi memberangsangkan dalam semua aspek pada tahun lalu.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2018, homestay itu menjana pendapatan sebanyak RM69,475 berbanding RM52,130 yang direkodkan pada tahun 2017.

Dalam tempoh sama tahun lalu, Homestay Kampung Temenin Baru menerima kedatangan pelancong seramai 1,181 orang terdiri daripada 239 pelancong domestik dan 942 pelancong antarabangsa.

Pada tahun 2017, kedata­ngan pelancong ke kampung itu mencatatkan seramai 945 orang yang terdiri daripada 422 pelancong domestik dan 523 pelancong antarabangsa.

Penyelaras Homestay Kampung Temenin Baru, Zainoh Musa, 61, berkata, kampung yang mempunyai kira-kira 700 penduduk itu mula dipilih sebagai homestay kepada pelancong sejak tahun 2016.

kampung itu menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana aktiviti ditawarkan menyeronokkan

Menurutnya, kampung itu menawarkan konsep homestay bermula dengan lapan buah rumah sebelum bertambah menjadi 12 buah rumah dan diperluaskan secara berperingkat-peringkat sehingga mencecah 43 rumah pada masa ini.

“Sedikit demi sedikit, pemilik homestay di sini menaik taraf rumah mereka termasuk kelengkapan, bilik tetamu dan persekitaran yang kondusif.

“Selain itu, kampung ini turut menawarkan kemudahan lain seperti balai raya, kedai runcit, klinik kesihatan dan balai polis berhampiran, selain tapak perkhemahan untuk 60 orang serta sebuah padang untuk ke­selesaan pelancong,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambahnya, dengan penambahbaikan yang dibuat, kampung itu menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana aktiviti ditawarkan menyeronokkan sehingga boleh melekakan minda.

Katanya, dengan keluasan 137.59 hektar membabitkan kawasan perumahan, homestay di Kampung Temenin Baru itu memberi peluang pengunjung merasai pengalaman tinggal dalam rumah kampung.

“Antara tarikan lain adalah kampung ini berada di pusat pengantara untuk ke lokasi menarik di kawasan sekitar termasuk bandar Kota Tinggi, Air Terjun Kota Tinggi, Gunung Panti dan Gunung Muntahak.

“Kita di sini juga masih mengekalkan cara tradisional termasuk menyediakan menu masakan kampung, sukan berkonsepkan tradisional berserta pakej menarik seperti berkhemah dalam dusun, menyusuri Sungai Johor melihat kunang-kunang, berkayak dan menjelajah hutan menyusuri Sungai Pelepah,” katanya.




Zainoh berkata, waktu pa­ling sibuk adalah semasa musim buah-buahan pada Julai atau Ogos di mana ramai pelancong luar negara terutama dari Si­ngapura berkunjung ke sini untuk merasai keenakan buah-buahan tempatan seperti durian, pulasan, duku, langsat dan rambutan.

Menurutnya, pelancong ke homestay di kampung itu keba­nyakannya pelajar sekolah, penuntut universiti yang mengadakan lawatan sambil belajar untuk merasai kehidupan dan budaya orang Johor seperti makan dalam dulang selain memperkukuhkan konsep kekeluargaan.

“Di homestay Kampung Temenin Baru ini, kami turut memenuhi permintaan pelancong yang berhajat membuat makanan ringan dan kuih tradisional, berbasikal mengelilingi kampung selain demonstrasi kraftangan untuk dijadikan kenangan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan