Kebiasaannya apabila sebut hendak pergi bercuti sudah pasti suasana santai dicari sambil berehat menikmati percutian tidak kira di mana sekalipun destinasi dituju.
Maka, dalam mana-mana percutian, tempat penginapan yang selesa dan memenuhi segala keperluan semasa bercuti adalah antara perkara penting berada dalam senarai untuk memilih destinasi.
Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pihak pergi bercuti tetapi pada masa sama mahukan tempat penginapan seperti di rumah, boleh memasak, membasuh baju dan melakukan aktiviti harian seperti biasa.
.
Taman permainan di setiap unit apartment
Hakikatnya, percutian seumpama itu pada masa kini tidak asing lagi terutama menerusi pelbagai tawaran berbentuk homestay kerana ramai yang menyifatkan perkhidmatan sebegitu lebih menjimatkan kos.
Bagi yang mahukan percutian seumpama itu di bandar raya ini, mereka mempunyai banyak pilihan.
Namun, jika mahukan penginapan seperti di rumah tetapi bertaraf hotel, boleh memilih untuk tinggal di Paragon Service Suites@Straits View.
Suite servis itu yang terletak di Jalan Tengku Petrie 1, Straits View di sini bukan sahaja menawarkan suasana seperti di rumah, malah pengunjung juga boleh menikmati pemandangan laut atau panorama bandar raya ini.
Kemudahan gym disediakan
Pengarah Urusan Hotel Paragon, Datuk Seri Edwin Tan berkata, di apartmen servis yang ditawarkan mereka juga mempunyai pelbagai perkhidmatan yang boleh dinikmati seisi keluarga daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa.
Menurutnya, kolam renang kanak-kanak dan orang dewasa, tempat bermain pool, putting green, sauna, kawasan untuk barbeku dan tempat permainan kanak-kanak merupakan antara perkhidmatan yang disediakan di suite servis itu.
Bagi tempat penginapan pula, katanya, bilik berkonsepkan studio ditawarkan dengan dilengkapi ruang tamu, ruang makan, dapur memasak dan mesin basuh berserta pengering pakaian sekali gus memberi suasana di rumah.
“Paragon Service Suites@Straits View yang terletak di lokasi strategik, iaitu kira-kira tiga minit dari tengah bandar raya dan Tambak Johor untuk masuk ke Singapura itu memudahkan pergerakan mereka menginap di sini.
“Selain itu, kami turut menyediakan bas ulang-alik (shuttle bus) kepada pengunjung yang mahu ke pusat beli-belah di kawasan bandar dan ke hotel syarikat, Paragon jika mahu menikmati pelbagai hidangan makanan,” katanya.
Pada masa sama, Edwin berkata, pengunjung Paragon Service Suites@Straits View juga boleh membuat pilihan jika mahu menikmati makanan lain daripada yang dihidangkan di Hotel Paragon, namun perlu memandu sendiri.
Di suite servis itu, tambahnya, mereka boleh memilih sama ada mahu memasak, menikmati makanan di hotel atau memilih pelbagai pilihan restoran yang menyajikan makanan tempatan mahupun antarabangsa yang terletak di kawasan berdekatan.
Selain itu, lokasi strategik apartmen servis tersebut juga diyakini mampu menjadi tarikan seperti dekat dengan pintu masuk ke Singapura, stadium latihan tertutup JDT, hospital, zoo Johor dan banyak lagi.